by: AfiqahRozalie|ummahcreative
Angin sepoi-sepoi bahasa mula beralun. Menenangkan pemilik hati yang merindui ketenangan dan kedamaian. Di petang itu juga, satu Halaqoh cinta diadakan sebagai sumber makanan rohani insan-insan yang laparkan makanan ruhaniyah.
***
“ Apa yang tergambar dalam kotak minda kita bila kita dengar ayat ni, Hidup Rasa BerTUHAN ?” Satu susuk tubuh manusia mula berbicara seusai slot muqaddimah berakhir.
Semua terdiam. Suasana sepi. Memikirkan jawapan, mungkin.
“Naimah, cuba awak bagitahu akak, apa yang awak faham tentang Hidup Rasa BerTUHAN.” Aliya Humaira’, pemilik suara cuba mendapatkan respon.
“Erm, pada Naimah kan kak, hidup rasa berTUHAN ni membawa maksud bahawa seluruh kehidupan kita berada dalam pandangan ALLAH. Kita akan berasa kehadiran ALLAH dalam kehidupan kita. Bila kita nak buat sesuatu, kita akan sentiasa berwaspada dari murka ALLAH.” Sekuntum senyuman dihadiahkan kepada rakan-rakan yang mendengar.
“Bagus. Pendapat Tasnim pula bagaimana?” Pandangan Aliya beralih arah.
“Pada Tasnim, hidup rasa berTUHAN membawa kepada satu perasaan perhambaan yang tulus pada ALLAH. Hidup tanpa rasa sedikit keraguan pada ketentuan qada’ dan qadarNYA. Menyerahkan segala ketentuan disamping menjalankan tugas kita sebagai hambaNYA.”
“Alhamdulillah, jelas adik-adik faham maksud kata-kata akak tadi. Sekarang akak nak kongsi satu hadis daripada Rasulullah yang berbunyi,
“أَنْ تَعْبُدَ اللَّهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاك”
Maksudnya “Beribadahlah kamu seakan-akan kamu melihat Allah. Jika kamu tidak sampai kepada upaya itu, maka sekurang-kurangnya rasakanlah yang Allah itu melihat kamu”.
Berdasarkan hadis tadi, dapat kita simpulkan bahawa, setiap amalan yang kita lakukan mestilah ikhlas dan tulus hanya kepada ALLAH. Cuba kita bayangkan, guru besar kita duduk depan mata kita waktu kita nak jawab periksa. Apa perasaan kita waktu tu?” Aliya Humaira’ sengaja mengusik minda insan-insan dihadapannya itu.
Masing-masing tersenyum, dan ada juga yang terus menerus mengeleng kepala tanda tak ingin kejadian itu berlaku. Serentak. Terdengar ketawa riang mereka memecah suasana sepi yang menyinggah tadi. Geli hati dengan telatah Syazwani, juga merupakan adik usrah Aliya. Mereka berlima. Nur Naimah, Tengku Tasnim, Syazwani Suhaila, Zulaikha Zahra dan Amnah Amalina.
“Ok, itu baru manusia sesama manusia. Belum lagi, manusia dengan ALLAH. Kalau dengan manusia pun kita dah rasa takut, panic, risau dan gelabah, inikan pula bila berhadapan dengan TUAN kepada manusia. Kita perlu rasa lebih takut dan berhati-hati dalam setiap langkah.” Aliya meneruskan kalam.
Halaqah cinta itu kembali sepi tanpa suara. Masing-masing bermuhasabah diri.
“Akak, tadi kita dah bincang apa maksud Hidup Rasa BerTUHAN . Tapi , macam mana cara nak wujudkan perasaan tu ?” Amnah yang sedari tadi mendiamkan diri, mula bersuara.
“Soalan yang baik. Pendapat adik-adik bagaimana ?” Aliya memberi ruang kepada mereka untuk memberikan pendapat.
“Akak, Zu nak berkongsi sedikit apa yang pernah Zu baca dalam Al-Quran, surah al-baqarah ayat 177 yang bermaksud:
“Dan apabila hamba-hambaku bertanya kepadamu (Muhammad) tentang ‘Aku’, maka sesungguhnya. ‘Aku’ dekat. ‘Aku’ akan kabulkan permohonan orang yg berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Hendaklah mereka itu memenuhi (perintah)-Ku dan beriman kepada-Ku, agar mereka memperoleh kebenaran”
Zu rasa, ayat ini amat berkait rapat dengan tajuk kita hari ni. ALLAH suruh kita sentiasa meminta sebab ALLAH sentiasa dekat dengan kita, walaupun kadang-kadang kita tak mampu merasai kewujudan ALLAH bersama kita. ALLAH kata berdoalah. Berdoa tanda kita punya tempat bergantung. Berdoa tanda kita perlukan ALLAH. Ermm, itulah apa yang Zu rasa.” Zulaikha Zahra , selaku ketua, cuba memberi pendapat dan pandangan.
“Masyallah, hebat. Ada siapa-siapa lagi yang nak berkongsi pendapat ? ” sebagai Murobbi, Aliya bangga dengan kecerdasan minda mad’u yang diamanahkan keatasnya itu.
“Wani sokong pendapat Zu tadi. LIKE.” Celah Syazwani sambil ibu jari diangkat tanda setuju. Masing-masing tertawa ceria, terhibur dengan reaksi sahabat mereka itu.
“Kalau boleh, Wani nak tambah sikit ye, kak Aliya .” Meminta izin.
“Tafaddholi.” Balas Aliya.
“ Terima kasih, kak. Tadi Zu dah terangkan bab berdoa pada kita, pada Wani, sebelum berdoa, perkara yang paling asas adalah solat. Solat juga merupakan doa. Dengan menjaga kewajipan solat, insyallah, ke‘berasaan’ itu akan datang dengan sendiri. Perlu difokuskan disini ialah solat. Selain tu, baca quran, zikir, berada dalam majlis ilmu, mengingati mati dan amal ma’ruf wanha a’nil mungkar. Semua ini adalah jalan atau wasilah untuk kita merasai kenikmatan hidup sebagai hamba kepadaNYA. Hidup Rasa BerTUHAN. Sekian. Wallahua’alam.” Ucap Syazwani mengakhiri bicaranya.
***
Senyum. Terasa bahagia. Pertemuan petang tadi bukan hanya sebagai wasilah pengikat ribath ukhuwah antara mereka, malah telah mendorong dirinya melahirkan sifat ta’abbud ilALLAH dalam diri. Pengisian yang dikongsikan dijadikan penguat diri untuk membina jati diri seorang insan dan hamba padaNYA. Aliya Humaira’ puas. Meski masa yang diperuntukkan singkat, namun mutiara yang diperolehnya bagai tiada bandingan.
***
~ Hadis Pilihan ~
Dari Bukhari, Muslim, Tirmidhi dan Ibn Majah, diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a: Rasulullah s.a.w bersabda: “Allah s.w.t berfirman: Aku adalah berdasarkan kepada sangkaan hambaKu terhadapKu. Aku bersamanya ketika dia mengingatiKu. Apabila dia mengingatiKu dalam dirinya, nescaya aku juga akan mengingatinya dalam diriKu. Apabila dia mengingatiKu di majlis, nescaya Aku juga akan mengingatinya di dalam suatu majlis yang lebih baik daripada mereka. Apabila dia mendekatiKu dalam jarak sejengkal, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sehasta. Apabila dia mendekatiKu sehasta, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sedepa. Apabila dia datang kepadaKu dalam keadaan berjalan seperti biasa, nescaya Aku akan datang kepadanya seperti berlari-lari kecil.”


1:33 م
ummahcreative

Posted in:
0 التعليقات:
إرسال تعليق